Sunday, February 6, 2011

Laporan ketua rombongan pelajar sabah pulang ke malaysia setelah sampai di KLIA



PELAJAR Sabah dan Sarawak yang mengikuti pengajian di Mesir berpelukan kegembiraan selepas mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi dengan menaiki pesawat Qatar Airlines dari Doha. - Foto Afendi Mohamed.


Berkawal 24 jam dengan senjata elak asrama diceroboh


2011/02/06

SEPANG: Berkawal selama 24 jam secara bergilir dengan dibantu jiran berbangsa Arab telah dapat menyelamatkan pelajar Malaysia daripada kejadian menceroboh yang dilakukan oleh rakyat Mesir berikutan keadaan kucar-kacir di negara berkenaan.

Pelajar tahun lima jurusan perubatan Universiti Zargazig, Aizuddin Hidrus, 23, dari Kota Kinabalu, Sabah menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang lima tahun berada di Mesir.
Katanya, mereka perlu berkawal dengan senjata seperti parang dan kayu sejak hari kedua kejadian rusuhan itu berikutan di kawasan asrama mereka iaitu Rumah Sabah, terdapat 10 orang penduduk yang cuba melakukan rompakan.
"Ini kerana keadaan yang berbahaya berikutan terdapat penduduk yang mengambil peluang untuk melakukan rompakan, maka kami perlu bersedia bersama senjata seperti parang," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disambut oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan di sini, hari ini.

Aizuddin, pemimpin pelajar bagi kumpulan pertama pelajar Sabah seramai 49 orang, termasuk tiga dari Sarawak, adalah kumpulan yang ditanggung kerajaan negeri Sabah untuk dibawa pulang berikutan krisis di Mesir.

Mereka tiba pada 8.40 pagi tadi dengan pesawat Qatar Airways dan transit di KLIA sebelum berlepas pulang ke Kota Kinabalu, secara berperingkat dengan penerbangan pertama pada 12 tengahari ini.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah akan disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Aizuddin turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas tindakan kerajaan untuk membawa pulang pelajar Malaysia dengan segera berikutan kejadian rusuhan di negara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut meminta ibubapa yang lain bersabar dan tidak perlu bimbang kerana keadaan di sana adalah terkawal dan semua pelajar akan pulang dalam masa terdekat ini.

Seorang lagi pelajar dari Sabah, Siti Saharaneh Mohd Shuaib, 27, pelajar tahun tiga jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar berkata, saat paling mencemaskan apabila beliau dan seorang rakannya terperangkap pada hari pertama kejadian rusuhan itu berlaku.

Siti Saharaneh berkata, beliau tidak tahu pada hari tersebut yang dirancang untuk keluar membeli barang di bandar, rusuhan sedang berlaku.

Katanya, sepanjang perjalanan dengan menaiki keretapi, beliau dan rakannya dapat melihat beberapa kepulan asap dan beberapa perhimpunan kecil di beberapa tempat.

Bagaimanapun, katanya, selepas tiba di bandar berkenaan, usaha untuk pulang menjadi sukar berikutan operasi keretapi telah dihentikan dan bas juga sesak dengan penumpang yang melarikan diri.

Katanya, hanya beberapa jam kemudian, mereka berjaya mendapat teksi dan dalam perjalanan pulang, beliau dapat melihat kereta terbakar di tengah jalan dan bank telah dipecah masuk. - BERNAMA


2 comments:

Risnayati Lammu said...

alhamdulillaah, selamat jua kwn2 ku semua...

Joie Joe said...

ehehe.. tulah.. insya-Allah suma selamat

Post a Comment

Newer Posts Older Posts